PUTRAJAYA – Kerajaan memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menerusi kerjasama itu, sebanyak 3,208 kekosongan jawatan dikenal pasti dalam sektor pengangkutan meliputi subsektor pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat dan rantaian bekalan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET kini bukan lagi dianggap sebagai pilihan alternatif, sebaliknya menjadi pilihan strategik negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan tiada ketidakpadanan antara latihan dan pekerjaan melalui pendekatan “Place and Train” yang memberi fokus kepada latihan berdasarkan keperluan sebenar industri.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, veteran ATM mempunyai disiplin, pengalaman dan kemahiran teknikal yang diperlukan industri pengangkutan yang sedang berkembang pesat.

Beliau berkata, agensi dan syarikat di bawah MOT tampil menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor pelabuhan, logistik, pengangkutan bas dan industri rel bagi membantu veteran ATM membina kerjaya kedua yang lebih stabil.
Pada majlis sama, PERHEBAT turut memeterai Nota Persefahaman (NoU) bersama 10 agensi dan syarikat industri pengangkutan bagi memperluaskan akses latihan serta peluang pekerjaan kepada bakal pesara dan veteran ATM. – MalaysiaGazette
















