KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi jaminan bahawa tiada pelajar baharu yang layak memasuki universiti itu akan tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya disebabkan oleh kekangan kewangan.
Seiring dengan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat, UMS telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan, kebajikan dan sokongan logistik bagi memastikan proses pendaftaran pelajar baharu berjalan lancar dan teratur.
Antara bantuan yang disediakan termasuk bantuan awal pendaftaran, kemudahan penangguhan bayaran, bantuan zakat dan kebajikan, bantuan sara hidup (one-off) dan penempatan kolej kediaman bersubsidi.
Turut disediakan bantuan makanan melalui Program Dapur Siswa, tabung kebajikan pelajar, bantuan kecemasan serta pelbagai skim pembiayaan dan biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, universiti sentiasa mengambil pendekatan inklusif bagi memastikan setiap pelajar yang menerima tawaran kemasukan berpeluang memulakan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan.
“UMS memahami bahawa terdapat pelajar dan keluarga yang berdepan cabaran kewangan, khususnya daripada golongan B40 dan keluarga berpendapatan rendah. Namun, kami ingin menegaskan bahawa kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
“Pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke UMS disaran untuk hadir mendaftar terlebih dahulu dan berhubung dengan pihak universiti sekiranya menghadapi sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, UMS turut menggerakkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk yayasan, alumni, badan kebajikan, institusi zakat dan rakan industri bagi memperluaskan jaringan bantuan kepada pelajar yang memerlukan.
Menurut beliau, pendidikan tinggi merupakan pelaburan masa depan negara dan setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang yang sama untuk mengembangkan potensi diri tanpa dibatasi oleh latar belakang sosioekonomi.
“Kami mahu setiap pelajar melangkah masuk ke kampus dengan yakin bahawa mereka tidak bersendirian. UMS sentiasa komited untuk membantu, membimbing dan memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Pesanan kami kepada pelajar dan ibu bapa ialah jangan menolak peluang melanjutkan pengajian kerana bimbang tentang kos atau kewangan. Datanglah ke UMS terlebih dahulu, dan kita akan sama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” tambah beliau. – MalaysiaGazette















