Exco Wanita Pusat Keadilan, Karen Kasturi

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang mula berkuat kuasa 1 Jun lalu disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh hak wanita Malaysia serta memastikan masa depan anak-anak yang dilahirkan di luar negara lebih terjamin.

Exco Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Karen Kasturi berkata, pindaan itu akhirnya memberikan pengiktirafan yang lebih adil kepada ibu warganegara Malaysia yang sebelum ini berdepan pelbagai kesukaran dalam urusan mendapatkan kewarganegaraan untuk anak mereka.

Menurut beliau, sebelum pindaan tersebut dilaksanakan, anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita warganegara Malaysia tidak menikmati hak yang sama seperti anak kepada lelaki warganegara Malaysia.

“Pelaksanaan pindaan ini membetulkan ketidakseimbangan yang telah lama wujud dan mengiktiraf peranan ibu sebagai warganegara yang mempunyai hak serta tanggungjawab yang setara dalam menentukan masa depan anak-anak mereka.

“Ia merupakan satu perkembangan yang amat bermakna kepada ramai keluarga Malaysia yang sekian lama berdepan ketidakpastian berhubung status kewarganegaraan anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Karen berkata, kewarganegaraan bukan sekadar status perundangan, sebaliknya menjadi asas penting yang menentukan identiti, perlindungan dan peluang seseorang anak dalam membina kehidupan mereka.

Ujarnya, setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan, perlindungan undang-undang serta peluang yang membolehkan mereka berkembang dan menyumbang kepada masyarakat.

“Kewarganegaraan membuka ruang kepada masa depan yang lebih terjamin. Ia memberikan keyakinan kepada anak-anak bahawa mereka mempunyai tempat dan identiti yang jelas sebagai rakyat Malaysia.

“Atas sebab itu, reformasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga, malah membantu membina generasi Malaysia yang lebih yakin, berdaya tahan dan mampu bersaing pada masa hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang selama ini konsisten memperjuangkan isu tersebut termasuk keluarga yang terkesan, pertubuhan masyarakat sivil, aktivis hak wanita, ahli-ahli Parlimen dan pelbagai pihak berkepentingan.

Menurutnya, kejayaan melaksanakan pindaan berkenaan membuktikan bahawa usaha berterusan dan kerjasama pelbagai pihak mampu menghasilkan perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Karen turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas komitmen dan kepimpinan beliau dalam merealisasikan pindaan yang telah lama dinantikan itu.

“Semoga pelaksanaan pindaan ini terus memperkukuh prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman dalam negara kita serta menjadi bukti bahawa reformasi yang berpaksikan rakyat mampu membawa perubahan yang bermakna kepada kehidupan masyarakat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast