Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2026 (Gambar fail)

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD) di Mesir dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia.

“Justeru, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan rayuan empat pelajar Malaysia di Universiti Alexandria, Mesir yang berdepan kebuntuan menjalani peperiksaan wajib, latihan praktikal serta meneruskan kerjaya sebagai ahli farmasi di negara ini.

Ia selepas mereka dimaklumkan program Farmasi Klinikal (PharmD) yang diikuti mereka tidak diiktiraf.

Sedangkan menurut mereka, tawaran pengajian itu diterima menerusi KPT iaitu bagi jurusan Farmasi sebelum silibus pembelajaran dinaik taraf pada 2019 dengan program diikuti adalah Farmasi Klinikal (PharmD). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast