Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja `culas’ membayar pinjaman dengan institusi tersebut.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata duit yang dipinjamkan itu bukan milik peribadi sebaliknya merupakan duit rakyat.

“Maaf ya! Ada yang pertikai MARA bawa isu peminjam culas ke mahkamah. Kalau namanya pinjaman bermakna WAJIB bayar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Asyraf Wajdi berkata, tindakan mengejar peminjam culas sehingga ke peringkat mahkamah sememangnya antara keutamaan beliau sejak mengambil amanah selaku Pengerusi MARA.

Tegasnya, ini dalam memastikan setiap sen wang rakyat dikembalikan dan boleh dimanfaatkan semula untuk keperluan orang lain.

“Arahan Majlis MARA kepada pihak pengurusan amat jelas, jangan dilayani surat-surat mohon pengecualian hatta daripada pihak-pihak berpengaruh walau setinggi mana kedudukan mereka.

“Ini bukan hak kita untuk berkompromi atau memaafkan peminjam culas kerana setiap sen yang disalurkan sebagai pinjaman merupakan wang amanah rakyat,” katanya.

Disebabkan itu, juga tambah beliau, antara program Transformasi MARA yang diperkenalkan termasuk aspek transformasi disiplin kewangan MARA bagi memastikan wang rakyat tidak sewenangnya dipersiakan atau tiris akibat daripada kecelaruan dalam memahami amanah dan mandat rakyat.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Tinggi Sungai Petani menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik pinjaman pendidikan MARA berjumlah RM857,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam berkata, beliau mendapati tiada merit dalam alasan rayuan berkenaan dan tiada sebab untuk campur tangan dalam keputusan mahkamah perbicaraan.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan MARA tidak terhalang oleh Akta Had Masa 1953, memandangkan tindakan itu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, menerima pinjaman MARA yang pertama pada 2011 untuk melanjutkan pengajian sarjana di University of Manchester, dan pinjaman kedua pada 2013 bagi program doktor falsafah (PhD) di University of Cambridge.

Tiga ahli keluarganya, iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long, bertindak sebagai penjamin bagi kedua-dua pinjaman berkenaan.

MARA memulakan prosiding undang-undang selepas mendakwa Siti Norbaya gagal membayar balik pinjaman.

Perayu berhujah bahawa dia menamatkan pengajian sarjananya dalam tempoh yang ditetapkan dan mendakwa tuntutan MARA di bawah perjanjian pinjaman 2011 terhalang oleh Akta Had Masa 1953. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast