MELAKA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh rumah didiami seorang gadis minggu lalu.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Fikrie Roslan, 25, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menceroboh rumah seorang wanita berusia 23 tahun yang digunakan sebagai tempat kediaman di Batu 10, Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini kira-kira pukul 4 petang, 30 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bersendirian di rumah ketika kejadian terdengar bunyi ketukan pada pintu biliknya, namun tidak berani keluar kerana ahli keluarganya yang lain keluar bekerja.

Pada masa sama, teman lelaki mangsa yang datang menghantar makanan mendapati pintu rumah terbuka sebelum melihat tertuduh berada di ruang tamu kediaman berkenaan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah memasuki rumah itu tanpa kebenaran pemilik.

Terdahulu dalam rayuannya, Muhammad Fikrie yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibunya yang menghidap strok separuh badan.

Tertuduh yang mengaku tidak berkerja turut memberitahu perlu menguruskan keperluan harian ibunya ketika bapanya keluar bekerja dan tidak mengenali mangsa.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak sewenang-wenangnya memasuki rumah orang lain tanpa kebenaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tangkap. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast