GEORGE TOWN – Seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merompak seorang warga emas di tepi Jalan Pahang, bulan lalu.
Tertuduh, M. Dinessvvaran, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan terhadap seorang lelaki berusia 78 tahun dengan merampas dompet dari poket baju mangsa di tepi Jalan Pahang kira-kira jam 5.52 petang pada 24 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad menawarkan jaminan RM7,000.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh merupakan pelajar jurusan mekatronik di ILP serta mempunyai masalah gastrik.
“Tertuduh juga menanggung keadaan keluarga yang serba kekurangan apabila ibunya yang merupakan ibu tunggal bekerja sebagai pencuci dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, selain mempunyai tiga abang termasuk seorang berstatus orang kelainan upaya (OKU),” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Julai depan. – MalaysiaGazette
















