Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim menolak lantikan sebagai Setiausaha Akhbar di pejabat Menteri Besar Perlis.

Sambil memohon maaf kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, Husna berkata, keputusan itu dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat dikongsikan.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih dan menghargai tawaran jawatan itu yang dianggap sebagai satu penghormatan.

“Saya faham dalam keadaan suasana politik di Perlis yang agak panas dan bergelora ini, ini adalah antara usaha YB (Abu Bakar) untuk mengharmonikan keadaan kita (Pas-Bersatu).

“Saya yakin YB sentiasa berusaha untuk memberikan penumpuan kepada kebajikan dan memberi keutamaan kepada rakyat Perlis,” katanya menerusi TikTok hari ini.

Tambah Husna, beliau turut mendoakan semoga usaha murni yang dilakukan Abu Bakar untuk rakyat Perlis akan dipermudahkan dan semoga kepimpinan beliau dan rakil rakyat Bersatu dan Pas diberkati oleh Allah SWT.

Semalam, semasa sesi penggulungan sidang DUN Perlis, Abu Bakar mengumumkan pelantikan Husna sebagai Setiausaha Akhbar di pejabat Menteri Besar.

Turut diumumkan adalah pelantikan Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji susulan kekosongan luar jangka di kawasan itu.

Selain itu, Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Kangar, Jamil Kamis dilantik sebagai Penyelaras DUN Bintong manakala Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad pula dilantik sebagai Penyelaras DUN Chuping. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast