Foto: FB JPJ Kedah

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menahan sebuah bas persiaran dalam operasi penguatkuasaan di Kulim selepas pemandunya didapati memandu tanpa lesen yang sah.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 11.55 pagi semalam oleh anggota penguat kuasa JPJ Cawangan Sungai Petani, bas berkenaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut selepas dikesan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

JPJ Kedah dalam satu kenyataan berkata, hasil semakan mendapati pemandu lelaki tempatan itu gagal memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang diwajibkan bagi pemandu bas persiaran.

Selain itu, ujarnya, pemandu berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan ketika pemeriksaan dijalankan.

“Susulan pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya yang dikesan, tindakan penguatkuasaan telah diambil dan bas tersebut disita untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depoh JPJ Cawangan Kulim,” katanya menerusi Facebbok.

JPJ menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap pemandu dan pengendali kenderaan mematuhi peraturan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast