KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu beberapa individu yang disyaki mencuri kabel di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian itu dikesan menerusi rakaman video yang tular di media sosial jam 5 petang semalam.
“Video berkenaan memaparkan beberapa individu sedang memunggah kabel dari sebuah lubang utiliti di tepi lebuh raya sebelum memasukkannya ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey berwarna kelabu yang menggunakan nombor kenderaan palsu.
“Pengadu mendakwa, ketika berada di lokasi, beliau melihat sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey berwarna kelabu berhenti di tepi jalan, sebelum melihat empat lelaki yang tidak dapat dikenal pasti sedang memotong dan memunggah kabel ke dalam kenderaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, satu laporan polis turut dibuat oleh seorang lelaki tempatan pada Khamis kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Jelasnya, pengadu turut merakam kejadian berkenaan sebelum kesemua individu terbabit beredar dari lokasi kejadian.
Khairul berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
















