Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat reruai pameran selepas Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JUN 2026

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan akhlak, disiplin serta nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, walaupun banyak negara berlumba-lumba mengejar kemajuan teknologi dan memperkukuh pendidikan kemahiran, tidak semuanya memberikan penekanan yang sama terhadap aspek nilai dan pembentukan insan.

“Semua negara mengejar AI sekarang, semua negara mengejar TVET walaupun ramai yang tidak berjaya atau masih baharu menerokainya.

“Tetapi tidak semua menekankan soal nilai. Bagaimana kita bicara soal AI tanpa nilai? Bagaimana kita menguasai teknologi dan maklumat tanpa nilai?” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut Anwar, pendekatan itu membezakan Malaysia menerusi kerangka Madani yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemajuan teknologi dan ekonomi, tetapi turut menekankan pembangunan insan.

Beliau berkata, kemajuan dalam bidang AI, transformasi digital, teknologi pertanian moden dan peralihan tenaga merupakan satu keperluan yang tidak boleh dielakkan.

Namun katanya, semua kemajuan tersebut perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat manusia dan bukan digunakan bagi menindas, menghina atau memecah-belahkan masyarakat.

“Kita mahu beralih semula ke pangkal jalan. Landasan kita tentunya dengan semua dasar termasuk transformasi digital dan teknologi moden, tetapi kemestian itu adalah untuk mengangkat martabat dan darjat manusia,” jelasnya lagi.

Anwar berkata, institusi TVET tidak seharusnya hanya melahirkan tenaga kerja mahir, sebaliknya perlu membentuk generasi yang memiliki nilai kemanusiaan, rasa belas ihsan dan keikhlasan.

Menurut beliau, pengarah serta pengurusan institusi latihan perlu melihat pelajar sebagai manusia yang perlu dibentuk sahsiah mereka dan bukannya sekadar tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri.

Katanya, disiplin, akhlak dan nilai kemanusiaan perlu diterapkan secara berterusan dalam semua institusi latihan termasuk pusat TVET dan institusi pendidikan lain.

Beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan yang sebenar tidak boleh memberi ruang kepada budaya menghina individu lain berdasarkan warna kulit, latar belakang, status ekonomi atau perbezaan fahaman agama.

“Ini bukan pendidikan. Ini kerosakan dan kebobrokan dalam sistem nilai kita.

“Mahu Malaysia berjaya? Ya, TVET adalah antara jawapannya. Tetapi mahu Malaysia terus selamat dan dihormati, ia mesti disertai dengan moral dan akhlak yang baik,” tegasnya.

Anwar berkata, keseimbangan antara kemahiran teknikal dan nilai kemanusiaan akan menjadi asas penting dalam melahirkan generasi baharu yang mampu memimpin negara pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast