KUALA LUMPUR – Seramai 27 pelajar tahfiz dan pondok warga emas di Kundang, Rawang dekat sini menerima rawatan kerana keracunan makanan selepas dipercayai menjamah juadah yang diperoleh daripada sumber luar.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan fasiliti kesihatan berhampiran, Khamis lalu.
Ujar beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang melibatkan sebuah pusat tahfiz di Kundang.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami gejala seperti muntah-muntah dan cirit-birit selepas menjamah makanan berkenaan pada 4 Jun lalu.
“Setakat ini, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, ekoran itu, siasatan di lokasi kejadian telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gombak yang turut mengambil keterangan serta sampel makanan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut beliau, siasatan kes dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut membuka kertas siasatan mengikut Akta Makanan 1983 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-4507492 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan peniaga serta individu yang terlibat dalam penyediaan dan pengendalian makanan supaya sentiasa mematuhi aspek kebersihan, keselamatan serta garis panduan kesihatan yang ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette















