Faisal Halim.

PERMATANG PAUH – Bintang Selangor FC, Faisal Halim memilih untuk kekal tenang dan tidak cepat melatah di sebalik spekulasi sesetengah pihak yang mengaitkan dirinya dengan status media sosial bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha yang tular baru-baru ini.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, beliau tidak pasti kepada siapa kenyataan berkenaan ditujukan dan hanya ingin fokus kepada kerjanya selain memberi komitmen penuh terhadap program pembangunan sukan akar umbi melibatkan Kelab DNA Faisal Halim yang berpangkalan di Pulau Pinang.

“Saya pun tidak tahu dia kata dekat siapa. Tetapi kalau dia tuju kepada saya, dia kena ‘mention’ sayalah. Kalau dia ‘mention’ saya, saya akan ‘reply’ (jawab),” kata Faisal memetik laporan BH Online ketika ditemui di Padang Mengkuang Titi di sini, hari ini.

Faisal turut berpandangan, sekiranya terdapat sebarang salah faham ia sepatutnya diselesaikan secara terus antara individu terbabit tanpa perlu dibawa ke platform awam.

“Tetapi (jika) perkara tiada apa-apa isu, kalau benda sikit-sikit ni kenapa nak ke media sosial kan? Kalau dia ada masalah dengan saya, kita berhubung secara baik,” katanya.

Faisal dalam perkembangan sama berkata, dia belum bercuti dan secara sukarela menghabiskan masa lebih seminggu berada di kampung halamannya demi menjayakan Kejohanan Bola Sepak Piala YB Dr Taufik Johari X Faisal Halim yang dikendalikan kelabnya.

“Saya belum cuti lagi. Sudah tujuh, lapan hari saya berada di sini. Saya tidak bawa isteri dan anak-anak pergi berjalan. Saya duduk di padang dari pagi sampai ke petang, berpanas sampai kulit pun sudah semakin gelap. Lepas ini baru boleh bawa keluarga mandi kolam ke apa,” ujarnya secara berseloroh.

Sebelum ini, nama Zaquan tiba-tiba menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan selepas beberapa hantaran panas dimuat naik di Instagram Story miliknya pada Jumaat lalu.

Hantaran berkenaan dipercayai mengandungi luahan peribadi berkaitan sikap dan profesionalisme yang ditujukan kepada seorang pemain bola sepak tanah air, namun tidak dinyatakan siapa individu yang dimaksudkan.

Menerusi hantaran yang sama, Zaquan turut dilihat menyentuh mengenai isu populariti, kadar bayaran serta nilai hormat dalam kalangan pemain, sekali gus mengundang pelbagai andaian di media sosial.

Perkongsian itu turut mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, namun setakat ini Zaquan belum mengeluarkan sebarang penjelasan lanjut berhubung hantaran berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast