KUALA LUMPUR – Penyanyi muda berbakat besar, Umairah kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu beliau yang berjudul Hujung Indah hasil ciptaan bersama komposer muda, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.
Pelancaran single itu sengaja diatur bersempena dengan musim cuti sekolah sebagai langkah strategik demi memastikan jadual Umairah tidak bertembung dengan komitmen akademik.
Fasa cuti sekolah ini memberi ruang sepenuhnya kepada pelajar berusia 15 tahun ini, untuk memberikan komitmen bagi aktiviti promosi serta perkongsian di media sosial.
“Pertama kali mendengar demo `Hujung indah’, melodinya terus meresap ke dalam jiwa. Karya ini menuntut kawalan vokal nada rendah dan tinggi dan memberi peluang kepada saya untuk menterjemahkan lirik dalam penceritaan yang mendalam,” ujar Umairah.

Harapan Umairah agar single terbaharunya akan dapat diterima ramai sebelum muncul dengan album sulungnya pada tahun ini.
Berdasarkan bait-bait liriknya, ‘Hujung Indah’ menceritakan tentang fasa bangkit daripada kedukaan akibat dikhianati oleh cinta yang penuh dengan janji palsu.
Walaupun hancur setelah berulang kali dikecewakan, lagu ini membawa mesej pemerkasaan diri serta menggambarkan luahan hati seseorang yang enggan terus meratapi kesedihan, sebaliknya memilih untuk bangkit.
Menambah portfolio seninya, Hujung Indah turut terpilih sebagai lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga di platform Viu bermula 11 Jun ini setiap Khamis dan Jumaat pukul 12 tengah hari.
Cerita ini mengisahkan Azlan iaitu seorang lelaki yang dikenali sebagai figura beragama dan dipercayai ramai.
Bagaimanapun, perkahwinan keduanya bersama Aisyah mencetuskan konflik hebat dengan isteri pertama, Farhah. Di sebalik imej alimnya, Azlan rupa-rupanya menggunakan agama sebagai alat untuk mengawal dan memanipulasi kedua-dua isterinya.
Barisan pelakon yang membintangi drama ini antaranya, Datuk Aaron Aziz, Nadiya Nisaa, Syad Mutalib dan Lorenzo Irmann.
Drama ini menyatukan semula Aaron dan Nadiya selepas 14 tahun sejak fenomena drama rantaian Adam dan Hawa di mana lagu runut bunyinya dinyanyikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Kali ini legasi tersebut diteruskan oleh anak buah beliau sendiri, Umairah, yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab mendendangkan lagu runut bunyi Bidadari Tanpa Syurga.
Hujung Indah diterbitkan oleh SN Legacy Sdn Bhd dan edaran Universal Music Sdn Bhd di semua pelantar penstriman digital serta tonton video muziknya. – MalaysiaGazette
















