Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Dagang KL bagi perbicaraan kes saman syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL terhadapnya berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Rabu ini bagi keputusan kes saman Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri.

Keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim Datuk Quay Chew Soon secara zoom.

Pada 15 April lalu, beliau menetapkan tarikh berkenaan dan memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 13 Mei dan hujahan balas pada 28 Mei.

Global Royalty memfailkan saman AS$14.57 juta saman terhadap Rosmah berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri.

Pada hari pertama perbicaraan 13 April lalu, Hakim Chew Soon mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh selaku saksi plaintif diikuti Rosmah selaku defendan.

Ketika memberi keterangan, Rosmah menafikan beliau mengabai atau enggan memulangkan lebih 40 barang kemas yang hilang kepada syarikat barang kemas dari Lubnan itu.

Ujarnya, sepanjang tempoh berkaitan, beliau telah mengambil langkah berwaspada dalam menjaga barang kemas terbabit dengan niat untuk memulangkannya kepada Samer Hassib apabila diminta dalam keadaan asal seperti barang kemas itu diterima.

Hari berikutnya, mahkamah mendengar keterangan lima saksi yang dikemukakan oleh pihak ketiga antaranya bekas pegawai kanan polis yang terlibat dalam serbuan di kediaman mewah Pavilion Residences, lapan tahun lalu.

Dalam keterangannya, seorang bekas pegawai kanan polis, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, 68, memberitahu, pasukan serbuan menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas melimpah keluar dari bagasi sehingga bertaburan atas lantai ketika menggeledah Pavilion Residences yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman itu berkata, sejumlah 71 bagasi, satu kotak plastik dan 284 kotak mengandungi beg tangan ditemukan di kediaman mewah yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri pada 17 Mei 2018.

Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan mewakili pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan dalam tuntutan saman itu.

Datuk David Gurupatham mewakili Global Royalty manakala peguam Reza Rahim mewakili Rosmah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast