Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kestabilan politik sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai manifestasi kematangan institusi politik Malaysia yang semakin mampu mengurus perbezaan dan membina konsensus dalam landskap politik yang kompleks.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata, pengalaman politik negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan kerajaan campuran mampu berfungsi secara lebih stabil berbanding tanggapan sebelum ini yang sering mengaitkan pertukaran kerajaan dengan krisis politik.

Dari perspektif pentadbiran awam, katanya, ukuran sebenar kejayaan seseorang Perdana Menteri bukan sekadar keupayaannya untuk kekal berkuasa, tetapi sejauh mana beliau berjaya menukarkan kestabilan politik kepada reformasi institusi yang berkekalan.

Dalam hal ini, jelasnya, Anwar berjaya melepasi fasa pertama iaitu menstabilkan kerajaan pasca PRU15, namun fasa kedua yang lebih sukar ialah menterjemahkan kestabilan tersebut kepada perubahan struktur yang dapat dirasai rakyat.

“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk berjaya mengelakkan ketidaktentuan politik yang berlarutan, tetapi pada masa yang sama memerlukan banyak kompromi politik.

“Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah sama ada kompromi tersebut memperkukuh agenda reformasi atau sebaliknya memperlahankan beberapa pembaharuan yang pernah dijanjikan sebelum ini,” katanya hari ini.

Dr. Mazlan Che Soh
Dr. Mazlan Che Soh

Mengulas cabaran mendatang, Dr. Mazlan berkata, fokus utama Anwar ketika ini bukan lagi soal mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri, sebaliknya memastikan pentadbirannya meninggalkan legasi yang boleh diukur melalui reformasi institusi dan pengukuhan daya saing negara.

Beliau berkata, usaha itu merangkumi peningkatan produktiviti ekonomi, pemerkasaan integriti tadbir urus serta pembinaan kapasiti negara untuk berdepan cabaran masa hadapan.

“Sejarah lazimnya tidak menilai pemimpin berdasarkan tempoh mereka memegang jawatan, tetapi berdasarkan perubahan yang berjaya mereka tinggalkan kepada negara,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir empat tahun mentadbir negara, persoalan utama kini bukan lagi sama ada Anwar mampu bertahan sebagai Perdana Menteri, sebaliknya sama ada kestabilan politik yang dibinanya mampu diterjemahkan kepada reformasi yang terus kekal selepas berakhirnya era pentadbirannya.

“Disitulah ukuran sebenar kejayaan seorang negarawan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast