MELAKA – Seekor penyu sesat dan terperangkap di dalam longkang berhampiran sebuah motel di Tanjung Kling di sini berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan spesies penyu laut yang dilindungi itu tersangkut di dalam longkang berhampiran motel berkenaan.
“Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati terdapat seekor penyu tersangkut di dalam longkang berkenaan sebelum bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan penyu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, operasi berjaya diselesaikan sepenuhnya sebelum penyu itu dilepaskan semula ke laut dalam keadaan selamat,” katanya.– MalaysiaGazette
















