KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak Iraq, Aymen Hussein disoal siasat selama tujuh jam selepas tiba di Chicago, Amerika Syarikat (AS) menjelang penyertaan pasukan itu dalam Piala Dunia FIFA 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut laporan agensi berita antarabangsa Turki itu, insiden tersebut berlaku sebaik sahaja pasukan kebangsaan Iraq tiba di Lapangan Terbang Chicago.
Ketika anggota skuad lain dibenarkan meninggalkan lapangan terbang, Aymen yang juga penyerang utama dilaporkan ditahan bagi tujuan pengesahan tambahan dan pemeriksaan keselamatan.
Anggota delegasi Iraq kemudian bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk menyelesaikan perkara itu, namun pasukan berkenaan akhirnya kembali ke kem latihan mereka tanpa penyerang berkenaan.
Selepas menjalani soal siasat dan prosedur pentadbiran selama tujuh jam, Hussein dibebaskan dan kembali menyertai rakan sepasukannya, menurut laporan itu.
Iraq dijadual menentang Venezuela dalam perlawanan persahabatan terakhir pada 9 Jun sebagai persiapan menjelang kempen mereka di Piala Dunia FIFA 2026. – Agensi
















