Seorang bayi lelaki masih hidup Gambar tular seorang bayi ditinggalkan dalam surau di Taman Daya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang bayi lelaki masih hidup ditinggalkan dalam keadaan tidak memakai baju di sebuah surau di kawasan Taman Daya di sini semalam.

Foto yang memaparkan bayi berkenaan yang dibalut dengan tuala tular dalam media sosial sehingga mengundang kritikan orang ramai yang bersimpati.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pemandu pada pukul 2.40 petang.

“Saksi menemui bayi berkenaan ketika hadir ke surau untuk menunaikan solat kira-kira 12 tengah hari sebelum menghubungi Balai Polis Setia Indah dan Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an yang bertindak meletakkan bayi tersebut di kawasan berhampiran tabung surau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan atau meninggalkan kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan, katanya, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast