Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali melahirkan rasa sedih, kesal dan malu terhadap krisis yang melibatkan institusi Raja di Negeri Sembilan sambil menggesa semua pihak menghentikan pertelagahan yang menurutnya telah mencalar maruah adat Melayu, institusi Raja dan negeri itu di mata rakyat serta seluruh negara.

Beliau berkata, krisis yang berlaku bukan sekadar melibatkan urusan pentadbiran atau adat semata-mata, sebaliknya menyentuh soal maruah institusi Raja, kedaulatan adat Melayu dan penghormatan rakyat terhadap sistem yang menjadi tunjang masyarakat sejak sekian lama.

Menurutnya, walaupun keputusan berkaitan perkara itu perlu diserahkan kepada saluran undang-undang, perlembagaan dan adat yang sah, aspek adab dan tertib tidak boleh diketepikan oleh mana-mana pihak yang terlibat.

“Kita sentiasa mengajar rakyat supaya menghormati Raja, adat dan susunan masyarakat. Namun apabila golongan yang berada di kedudukan tinggi gagal menunjukkan contoh yang baik, nasihat tersebut akan kehilangan makna dan kewibawaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, adat Melayu tidak seharusnya dijadikan alat untuk memenangkan sesuatu pihak atau dijadikan pentas menunjukkan kekuatan, pengaruh dan kuasa.

Katanya, adat perlu dipandu oleh musyawarah, hikmah serta rasa malu, kerana tanpa adab, warisan yang diwarisi turun-temurun hanya akan menjadi pertikaian yang merosakkan martabat masyarakat Melayu sendiri.

Beliau turut mengingatkan supaya mana-mana pihak politik tidak campur tangan dalam krisis berkenaan sehingga boleh menimbulkan persepsi bahawa institusi raja dan adat Melayu sedang dipolitikkan.

“Institusi raja bukan gelanggang parti politik. Orang politik datang dan pergi, tetapi institusi raja dan adat Melayu jauh lebih tua daripada mana-mana parti atau tokoh politik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa institusi adat juga perlu bertindak dalam batas tertentu agar kedudukan dan kewibawaan institusi Raja tidak terjejas.

Menurutnya, dalam era media sosial yang serba terbuka, setiap tindakan pihak berkepentingan akan diperhatikan dan dinilai oleh rakyat, sekali gus menjadikan soal persepsi awam amat penting untuk dipelihara.

Beliau berkata, rakyat kini memerhati bagaimana golongan pemimpin dan pemegang amanah adat mengendalikan krisis tersebut, dan kegagalan menunjukkan adab yang baik boleh menyebabkan generasi muda hilang rasa hormat terhadap institusi tradisional negara.

“Yang paling membimbangkan bukan apabila rakyat keliru tetapi apabila mereka mula muak sehingga timbul tuntutan untuk melakukan reformasi terhadap keseluruhan sistem sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim menyeru semua pihak supaya kembali kepada saluran yang sah, menghormati perlembagaan, mengutamakan musyawarah dan mengetepikan ego demi menjaga maruah Negeri Sembilan serta institusi Raja.

Beliau turut mencadangkan supaya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dipinda bagi memperjelaskan kedudukan Yang Amat Mulia Yang di-Pertuan Besar selepas ditabalkan, termasuk menetapkan syarat-syarat tertentu yang membolehkan pelucutan takhta dilakukan.

Selain itu, beliau mencadangkan penggubalan Akta Kedaulatan Raja dan Akta Kesetiaan Negara bagi memperkukuhkan kemuliaan institusi Raja serta memupuk kesetiaan rakyat terhadap negara.

“Dalam adat Melayu, menang tanpa adab bukan kemenangan, manakala kalah dengan adab bukanlah suatu kehinaan. Tetapi pertelagahan yang memalukan institusi Raja merupakan kegagalan besar dalam menjaga maruah bangsa dan warisan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast