Polis memburu seorang lelaki yang tular videonya berbaju T dan berseluar pendek melarikan beg tangan seorang jemaah wanita ketika sedang menunaikan solat di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang, Alor Gajah, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH – Polis memburu seorang lelaki yang tular videonya berbaju T dan berseluar pendek melarikan beg tangan seorang jemaah wanita ketika sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Kampung Jelatang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul  6.24 petang hari sama daripada mangsa, penuntut universiti berusia 19 tahun.

Menurutnya siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin ketika mangsa sedang menunaikan solat Asar seorang diri.

“Siasatan awal mendapati, suspek bertindak memasuki ruang solat wanita ketika mangsa sedang bersujud sebelum mengambil beg mengandungi dokumen dan barang-barang peribadinya diletakkan di hadapan sejadah.

“Ketika bangun dari sujud, mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali memakai baju T berwarna biru dan seluar pendek hitam berada di hadapannya.

“Lelaki itu kemudian mengambil beg tangan miliknya dan melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, identiti suspek juga telah dikenal pasti dan pihak polis ketika ini sedang giat memburu suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-556 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat dipercayai milik masjid berkenaan menunjukkan seorang lelaki berbaju T biru dan berseluar pendek hitam melarikan beg tangan sebelum seorang jemaah wanita dilihat cuba mengejar suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast