SEBERANG JAYA – Tindakan pemandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi berwarna oren memandu secara melulu di Jalan Seberang Jaya di sini mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas beberapa rakaman kejadian itu tular di media sosial hari ini.
Menerusi video yang dikongsikan, kenderaan terbabit dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan dan beberapa kali mengundur di atas jalan raya.
Dalam rakaman sama, beberapa individu dilihat cuba menghampiri kenderaan tersebut sebelum bertindak menghalang pergerakannya bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku.
Beberapa video lain turut menunjukkan orang awam berjaya menahan pacuan empat roda berkenaan dan mengarahkan pemandunya keluar daripada kenderaan.

Rakaman kejadian itu kemudiannya dikongsi secara meluas di pelbagai platform media sosial dengan ramai netizen meluahkan kebimbangan terhadap tindakan pemandu terbabit selain berharap siasatan segera dijalankan.
Setakat ini, punca kejadian serta identiti pemandu masih belum diketahui selain pihak polis juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung insiden tersebut. – MalaysiaGazette
















