PENAGA – Jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Kuang di sini hari ini.
Jenazah Iskandar Affan Ibrahim dikebumikan kira-kira 2 pagi dengan disaksikan hampir 50 ahli keluarga serta saudara-mara.
Sebelum itu, jenazah dibawa ke rumah datuknya, Ghazali Ismail di Kampung Permatang Kuang bagi memberi peluang kepada ahli keluarga memberikan penghormatan terakhir sebelum disolatkan di masjid.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman selepas proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selesai malam tadi.

Sementara itu, lima lagi mangsa yang maut dalam nahas sama dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Simpang Tiga Pasir, Merbok, Sungai Petani pada pukul 11 pagi hari ini.
Mereka ialah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27, Nora Mhd Husin, 55, Jamaliah Sannusi, 27, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, dan bayi berusia dua bulan, Ahmad Mikail Ahmad Syafiq.
Media semalam melaporkan dalam kejadian kira-kira 3.50 petang semalam, enam sekeluarga maut selepas SUV yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani.
Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga ketika kejadian berlaku. Lori terbabit pula dilaporkan sedang menghala ke Tikam Batu.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal. – MalaysiaGazette
















