MELAKA – Budaya parti politik utama negara hari ini yang terlalu mementingkan kuasa menyebabkan mereka kini telah “dimandulkan” sehingga gagal membawa suara rakyat.
Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pembentukan gabungan politik besar itu sejak 2018 menjadikan parti-parti dalam kerajaan mahupun pembangkang semakin berhati-hati untuk mengkritik.
Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, ia menyebabkan keberanian untuk menegur salah laku atau kelemahan pentadbiran semakin terhakis.
“Itu masalah yang kita ada sekarang. Apabila gabungan-gabungan besar ini, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasionak (PN) sejak 2018, matlamat gabungan-gabungan ialah untuk menang Putrajaya ataupun kerajaan negeri.
“Akhirnya mereka terpaksa menjadi gabungan. Bila dia jadi gabungan, dia dah tak jadi berani dah. Sebab kalau terlebih sebut cakap sikit, maka ada orang tak puas hati.
“Kalau bawa isu mengkritik parti atau kerajaan sendiri, nanti kena marah. Sebab apa? Sebab kita ni saingan terlalu dekat dengan parti-parti lain. Kalau kita jatuh sikit tak popular, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tak boleh jadi Perdana Menteri,” katanya.
Pemimpin utama Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata demikian ketika berucap pada Siri Kedua Jelajah Kancil di Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, malam tadi.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, situasi ‘menjaga hati’ itu menyebabkan isu rakyat tidak lagi dibawa secara terbuka sebaliknya hanya menjadi perbincangan hangat yang tular di media sosial.
“Dia jadi viral di sosial media sehingga muncul influencer-influencer ini, sebabnya rakyat secara keseluruhan merasakan bahawa ahli politik dan parti politik telah dimandulkan.
“Dah mandul dah, parti-parti politik kita semua macam itu tak boleh sentuh, tak boleh semua. Kena (kritik) dalam bilik senyap-senyap.
“Mereka hanya bersuara dan mengkritik sesama mereka bila dia dah nak bercerai dan mula bermasam muka. Bila Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BN tidak akan bertanding sekali dengan PH, barulah PH hentam macam-macam. Barulah BN hentam macam-macam,” katanya lagi.
Atas dasar itu, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau merasakan perlunya ada satu gerakan dan platform politik seperti Bersama yang berani menyuarakan sesuatu untuk melawan siapa sahaja.
“Kalau DAP salah kita cakap DAP salah. Kalau UMNO salah, kita cakap UMNO salah. Kalau Pas salah kita cakap Pas salah.
“Menang kalah belakang kira, tetapi keperluan masyarakat dan generasi akan datang, kita tak boleh padamkan suara ini hanya kerana perkiraan dan perbincangan untuk berkuasa di atas,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















