PUTRAJAYA – Pertubuhan Perpaduan Negara Malaysia (PPNM) hari ini mempersoalkan perjanjian yang dibuat di antara Malaysia dengan Jepun berkaitan penghantaran tiga ekor gajah Asia milik Zoo Taiping, baru-baru ini.
Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, perjanjian tersebut tempoh keberadaan gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di Zoo Tennoji Japan iaitu 25 tahun adalah lama dan perlu dijelaskan sebabnya.
“Persoalannya untuk laporan SPRM ini adalah berkaitan apakah kandungan perjanjian sehingga menyebabkan gajah Malaysia perlu ada di Jepun selama 25 tahun.
“Ini yang kami mahu jawapan yang telus sebab ada satu yang menyebabkan kami membuat laporan ini ada kandungan maklumat Majlis Daerah Taiping yang mengatakan bahawa boleh membuat laporan SPRM jika tidak berpuas hati,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat bantahan penghantaran tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun.
Ia turut mencetuskan petisyen bantahan yang antara lain membangkitkan isu persoalan mengenai keadaan kandang yang didakwa sempit, tekanan akibat pemindahan, perbezaan cuaca serta dakwaan bahawa Tennoji Zoo pernah menerima kritikan berhubung pengurusan haiwan.
Ia disuarakan oleh Sekumpulan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN).
Kerajaan Negeri Perak sebelum ini menegaskan, penghantaran tersebut dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan penilaian sejak 2022 termasuk lawatan ke Jepun oleh pihak berkaitan.
Selain itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan atas faktor keselamatan dan pengurusan veterinar.
Dalam masa yang sama, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan bahawa kebajikan tiga ekor gajah yang dihantar ke Jepun pada 10 Mac lalu itu akan sentiasa dipantau rapi. – MalaysiaGazette
















