KUALA LUMPUR – Padah menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram kepada penumpang warga asing, seorang lelaki ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, dalam operasi itu sebuah kenderaan jenis Proton Saga dan pemandunya telah ditahan serta disita untuk siasatan lanjut.
“Tangkapan terhadap suspek dibuat hasil intipan dan pemantauan anggota Stesen Penguatkuasa KLIA di Terminal 1, KLIA.
“Siasatan awal mendapati, ‘ulat’ itu memujuk, merayu dan menawarkan khidmat pengangkutan kepada seorang penumpang warga Banglades.
“Tambang perjalanan dari Terminal 1 KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dengan kadar ditetapkan RM130 dan akan dibayar sebaik sahaja penumpang tiba di destinasi,” katanya.
Tambah beliau, mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Katanya, jika sabit kesalahan boleh yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Pihak yang bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.
“Orang awam dinasihat supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing,” jelasnya.
Sebarang aduan trafik boleh disalurkan melalui e-mel [email protected] atau aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan aduan. – MalaysiaGazette
















