BUKIT MERTAJAM – Empat sekeluarga berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah jiran selepas terperangkap di tingkat atas kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Minyak di sini hari ini.
Difahamkan, kebakaran melibatkan bahagian bawah rumah berkenaan sehingga menyebabkan ruang tingkat atas dipenuhi asap dan menyukarkan penghuni untuk keluar melalui laluan biasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.43 pagi melibatkan kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat dengan keluasan kira-kira 20 x 30 kaki persegi.
Jelas beliau, semasa pasukan bomba tiba di lokasi pihaknya mendapati, kebakaran berlaku di bahagian bawah rumah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 30 peratus.
“Empat mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 41 tahun, dua wanita masing-masing berusia 68 dan 39 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terperangkap di tingkat atas rumah selepas ruang rumah dipenuhi asap tebal.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat ke bumbung rumah jiran sebelum pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta Honda City yang mengalami kemusnahan dianggarkan 50 peratus dan sebuah motosikal Honda ADV 160 dengan kemusnahan kira-kira lima peratus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah serangan terus (direct attack) dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.05 pagi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan lokasi kejadian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















