KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan, Albert Tei memfitnah beliau selaku dalang di sebalik salah guna kuasa dalam agensi itu.
Dakwa beliau, pernyataan ahli perniagaan itu merujuknya memanipulasi proses siasatan, mengatur keputusan `NFA’ (Tiada Tindakan Lanjut), berpakat dengan ahli politik selain terlibat dalam rasuah dan kelakuan tidak wajar.
Ujar bekas pegawai tertinggi SPRM itu, pernyataan tersebut dalam maksud semulajadinya memfitnah beliau sebagai orang tengah dan pengatur penyelesaian yang tidak wajar melibatkan tawaran dan pembayaran balik wang serta pampasan untuk mendiamkan Albert daripada mendedahkan rasuah di Sabah.
“Plaintif telah menggunakan SPRM sebagai jentera untuk mengugut, menakut-nakutkan dan mendiamkan defendan (Albert) serta menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan rasuah di Sabah.
“Kenyataan fitnah tersebut membawa sindiran fitnah yang amat serius, palsu, tidak berasas dan bertujuan merendah-rendahkan plaintif pada pandangan ahli masyarakat yang mendedahkan beliau kepada kebencian dan penghinaan,” ujar plaintif.
Sebelum ini, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 38, membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan.
Antara lain, lelaki itu mendakwa beliau telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa apabila cuba mendedahkan satu skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.
Azam menyatakan, pernyataan memfitnah itu diterbitkan menerusi platform dalam talian termasuk YouTube, YouTube Shorts dan media sosial ahli perniagaan tersebut sekitar 13 Mei lalu yang mana beliau (defendan) merupakan hos dan pengendalinya.
Katanya, penerbitan-penerbitan tersebut telah diakses, dilihat, dikongsi dan dibincangkan secara meluas oleh orang ramai dan kerosakan yang terhasil kepada reputasi beliau, amat teruk.
Azam menyatakan demikian dalam pernyataan tuntutan berhubung kes saman fitnah terhadap ahli perniagaan itu. Writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menerusi Tetuan Zain Megat & Murad.
Menerusi dokumen yang diperoleh pihak media hari ini, Azam menyatakan reputasi, nama baik, maruah dan kredibiliti yang dibina selama hampir empat dekad dalam perkhidmatan awam, tercemar ekoran pernyataan tersebut.
Ujarnya, disebabkan rekod tersebut dan jawatan tinggi yang disandangnya, sebarang dakwaan palsu tentang rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakjujuran atau kelakuan yang tidak wajar adalah amat serius dan memudaratkan beliau.
Menurut Azam, beliau tidak pernah mengarahkan, mencadang, mengatur atau menyebabkan mana-mana penyiasat, Peguam Negara atau timbalan pendakwa raya atau mana-mana pihak berkuasa mengeluarkan arahan NFA bagi sebarang tujuan atau niat jahat.
Beliau selanjutnya menyatakan, Albert gagal mengambil sebarang langkah munasabah untuk mengesahkan kebenaran dakwaan sebelum menerbitkan penerbitan tersebut.
“Defendan telah mengucapkan dan menerbitkan kenyataan fitnah tersebut sebagai kenyataan fakta, dengan cara yang sensasi dan tidak bertanggungjawab, tanpa sebarang asas munasabah.
“Defendan dengan sengaja menggunakan naratif berat sebelah yang direka untuk menggambarkan plaintif dalam keadaan yang paling buruk dan gagal mengemukakan sebarang laporan yang seimbang, adil atau tepat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Azam memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta injunksi muktamad yang menghalang defendan sama ada secara sendiri, melalui pekerja atau ejennya atau walau apa pun caranya daripada menerbitkan atau menyebarkan lagi pernyataan fitnah tersebut.
Selain itu, beliau turut memohon agar defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman, mengeluarkan dan menurunkan penerbitan tersebut dan sebarang kandungan yang memfitnah plaintif.
Suatu perintah bahawa defendan memelihara dan tidak memadam, mengubah atau memusnahkan rakaman, fail, metadata dan analitik asal yang berkaitan dengan penerbitan tersebut sementara menunggu pelupusan tindakan ini.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 8 Julai ini untuk pengurusan kes saman tersebut.
Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu yang dijadualkan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Hidayah Abd Mutalib. – MalaysiaGazette
















