KUALA LUMPUR – Kerajaan terus mengekalkan penyelarasan sementara kuota inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 200 liter sebulan buat masa ini menerusi harga subsidi RM1.99 seliter, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, pelaksanaan itu tidak akan berubah biarpun terdapat penurunan harga minyak dunia pada bulan ini sekitar AS$95 hingga AS$98 berbanding AS$120 setong sebelum ini.
“Sekarang kita sudah nampak bila harga minyak sudah turun. Dahulu harga AS$120 setong dan bulan ini antara AS$90-95 dan AS$98.
“Bila harga itu turun, impak subsidi pun turun. (Namun) tidak ada apa yang berganjak dalam itu, jadi kita masih kekal kuota RM200 BUDI95 dan harga juga kita kekal kepada RM1.99 seliter,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di sini, hari ini.

Semalam, Fitch Ratings meramalkan harga minyak mentah Brent dijangka mengalami penurunan ketara daripada paras tinggi semasa dan boleh mencecah sekitar AS$70 setong mulai September 2026 sekiranya Selat Hormuz dibuka semula seperti yang dijangkakan, menurut Fitch Ratings.
Agensi penarafan antarabangsa itu berkata, unjuran asasnya meletakkan harga purata minyak mentah global pada AS$87 setong bagi tahun 2026 berdasarkan andaian laluan perkapalan strategik itu akan kembali beroperasi sekitar penghujung Julai selepas ditutup selama kira-kira lima bulan.
Menurut Fitch Ratings, lonjakan harga minyak yang berlaku ketika ini lebih berpunca daripada gangguan sementara terhadap rantaian bekalan dan logistik berbanding kehilangan kapasiti pengeluaran minyak secara kekal.
Sejak awal Jun ini, harga minyak dunia mencatatkan peningkatan semula apabila pasaran dibuka susulan laporan hujung minggu bahawa Amerika Syarikat (AS) telah mengetatkan syarat rundingannya dengan Iran bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.5 peratus kepada AS$89.60 setong. – MalaysiaGazette
















