KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh dikaitkan dengan keretakan hubungan politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, setiap kali berlaku sesuatu isu oleh parti lawan, UMNO sering dituduh sebagai satu bentuk serangan.
“Asalkan dia tak tuduh UMNO yang buat. Tiap kali nanti (berlaku isu) kata UMNO punya kerja. UMNO baiklah,” katanya ringkas pada sidang media Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri, timbalannya, Adly Zahari.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan politik antara Pas dan Bersatu yang secara rasminya telah ditamatkan malam tadi.
Keputusan untuk menamatkan kerjasama politik itu diputuskan dalam satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi.
Pas mengesahkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas menilai kedudukan, hala tuju, serta krisis dalaman yang melanda parti itu.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan tekad untuk memelihara hubungan baik dengan Pas demi memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) namun keputusan rasmi penamatan tersebut tetap dilaksanakan oleh Pas. – MalaysiaGazette
















