Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Oktober ini bagi keputusan sama ada Badan Peguam dibenar memulakan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Hakim Norliza Othman menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan dan peguam-peguam Steven Thiru, Datuk S. Ambiga dan Zainur Zakaria mewakili Badan Peguam.

Pada prosiding itu, Shamsul berhujah, badan tersebut tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mengemukakan semakan kehakiman kerana ia gagal membuktikan bahawa berlaku pelanggaran Seksyen 5(1)(e) Akta JAC 2009 atau kepentingannya terjejas, ekoran pelantikan Ahmad Terridudin.

Seksyen itu memperuntuk pihak yang dilantik mestilah seorang hakim Mahkamah Persekutuan manakala pelantikannya dibuat oleh Perdana Menteri yang mana kedua-dua peruntukan itu dipenuhi.

Hujah Shamsul, JAC tidak melantik hakim kerana ia dibuat secara perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, Ahmad Terrirudin hanya seorang ahli JAC dan tidak boleh mempengaruhi pelantikan kehakiman secara unilateral.

“Badan itu mahu memperkenalkan peruntukan tambahan iaitu kekananan, tempoh perkhidmatan, pengalaman kehakiman terdahulu dan ketiadaan dakwaan terhadap hakim berkenaan sebelum ahli JAC dilantik.

“Pemohon turut mahukan perkara berkaitan perundingan awam, alasan umum dan pematuhan kepada konvensyen yang mana tiada satu pun daripadanya terdapat dalam Akta JAC atau mana-mana undang-undang bertulis.

“Oleh itu, kesahihan pelantikan itu mesti dinilai berdasarkan keperluan berkanun yang terkandung dalam akta itu sendiri dan bukannya terhadap aspirasi, ucapan, perbahasan Hansard, piawaian antarabangsa atau bahan lain yang tidak mengikat,” hujah beliau.

Hujah beliau, dakwaan yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman itu sekadar spekulatif dan tidak terbukti bagi mewajarkan mahkamah memberikan remedi yang dipohon.

Ujar Shamsul, dakwaan mengenai kebimbangan terhadap kebebasan badan kehakiman, keyakinan awam dan potensi berat sebelah pada masa depan, hanyalah spekulasi dan sukar untuk dibuktikan.

Katanya, permohonan tersebut tidak mendedahkan isu yang boleh dipertikaikan yang membolehkan mahkamah memberi kebenaran kepada badan itu memulakan semakan kehakiman.

“Pada peringkat ini, mahkamah hanya perlu menentukan sama ada permohonan itu mempunyai kes untuk dihujahkan dalam semakan kehakiman dan melepasi `ambang’ (threshold) yang membolehkan kebenaran diberikan,” hujah beliau.

Sementara itu, Steven berhujah, cabaran itu berkaitan komposisi JAC yang melibatkan pelaksanaan kuasa berkanun yang mewajarkan kebenaran semakan kehakiman diberikan.

Pada 12 Februari lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman dengan menamakan Ahmad Terrirudin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Badan itu memohon kebenaran untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai ahli JAC pada 15 November 2025, yang diwartakan pada 18 November 2025.

Ia juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk memaksa JAC menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin serta dapatan siasatan didedahkan kepada umum.

Majlis Peguam turut memohon perintah untuk memaksa JAC mendedahkan dan menyerahkan minit mesyuaratnya yang diadakan pada 16 Mei 2025 dalam tempoh tujuh hari selepas pelupusan permohonan kebenaran itu.

“Pemohon juga memohon perintah alternatif quo warranto yang menghendaki responden menunjuk sebab dan mendedahkan asas keputusan pelantikan Ahmad Terrirudin bukan mana-mana ahli kehakiman lain ke dalam suruhanjaya itu.

“Pemohon turut memohon perintah mandamus yang memaksa Anwar melaksanakan prerogatifnya untuk melantik seorang ahli JAC selaras dengan undang-undang.

“Majlis Peguam juga memohon perintah larangan bagi menghalang Anwar, JAC dan kerajaan daripada melantik Ahmad Terrirudin ke sebarang jawatan dalam badan kehakiman sementara menunggu pelupusan penuh dan muktamad prosiding semakan kehakiman itu,” katanya.

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai ahli JAC selama dua tahun oleh Perdana Menteri di bawah Perenggan 5(1)(e) Akta JAC, berkuat kuasa 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

Beliau mengisi kekosongan susulan persaraan wajib Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof pada usia 66 tahun selepas lanjutan enam bulan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast