KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa wujud amalan tindakan dua darjat dalam pengendalian kes oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) apabila aduannya berhubung dakwaan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan pistol terhadapnya dan keluarganya masih belum menerima sebarang keputusan selepas tujuh bulan.
Menurutnya, beliau mempersoalkan kecekapan AGC yang didakwa bertindak pantas dalam mengendalikan kes melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, namun sehingga kini masih belum memberikan maklum balas terhadap laporan yang dibuatnya.
Albert Tei berkata, kejadian itu berlaku pada 28 November tahun lalu apabila beberapa pegawai SPRM didakwa menceroboh kediamannya dan mengacukan pistol terhadapnya serta ahli keluarganya.
“Beberapa laporan polis telah dibuat dan saya mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas bagi menyokong dakwaan tersebut. Namun, decoder CCTV itu telah dirampas oleh SPRM dan sehingga hari ini saya tidak mengetahui di mana keberadaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, beberapa bulan lalu polis memaklumkan bahawa kertas siasatan berkaitan kes itu telah dilengkapkan dan dihantar kepada AGC untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan atau keputusan daripada pihak berkuasa.
“Saya dan keluarga telah menunggu selama tujuh bulan untuk menuntut keadilan, tetapi tidak ada sebarang maklum balas atau keputusan daripada Jabatan Peguam Negara sehingga hari ini.
“Inilah yang saya maksudkan sebagai kecekapan, layanan dan tindakan dua darjat yang ditunjukkan kepada masyarakat. Keadaan ini juga menjadi antara punca utama mengapa masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap institusi undang-undang negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan akan terus memperjuangkan perkara tersebut demi mendapatkan keadilan.
Terdahulu, media melaporkan, AGC mengklasifikasikan kes ugutan jenayah melibatkan Azam terhadap Albert Tei sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut AGC, hasil siasatan menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati, tiada elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Albert Tei, 38, membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:-
Dakwaan ugutan jenayah Albert Tei; Tiada tindakan lanjut terhadap Azam Baki – AGC
















