Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean

KUALA LUMPUR – Tempoh hampir empat tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara sebagai Perdana Menteri disifatkan sebagai bukti bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu kekal relevan dan terus menjadi antara parti politik utama negara.

Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, dakwaan kononnya PKR akan lenyap selepas era Anwar adalah tidak berasas memandangkan parti itu mempunyai rekod perjuangan yang panjang serta keupayaan melahirkan kepimpinan baharu.

Menurut beliau, kejayaan Anwar membawa PKR daripada parti pembangkang kepada parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan membuktikan kekuatan institusi politik itu.

“Saya tolak tanggapan yang mengatakan PKR akan hilang selepas era Anwar, terutama sekali selepas Anwar membawa PKR untuk menjadi PM ke-10.

“PKR pernah menjadi pembangkang yang berkesan dan kuat, hari ini pula menjadi kerajaan yang kuat dengan Anwar, ketua PKR sebagai Perdana Menteri dan saya yakin PKR akan kekal sebagai institusi politik untuk tempoh yang lama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meramalkan parti itu berdepan risiko besar untuk lenyap selepas era Anwar sekiranya gagal melakukan pembaharuan dan terus bergantung kepada struktur birokrasi lama.

Mengulas lanjut, Ker Chean berkata, PKR telah melahirkan ramai tokoh dan pemimpin sepanjang menjadi pembangkang, manakala usaha membentuk pelapis baharu semakin diperkukuh sejak parti itu berada dalam kerajaan.

“Biarlah ada 1,000 pengkhianatan sekali pun, PKR mampu untuk kekal relevan kerana perjuangan parti ini memikul visi dan harapan semua bangsa,” katanya lagi.

Pada Isnin, Rafizi dilaporkan meramalkan PKR berpotensi lenyap selepas pemerintahan Anwar kerana parti itu didakwa terlalu bergantung kepada kelangsungan politik Presiden PKR berkenaan.

Malah, beliau mendakwa PKR masih bergantung kepada kelompok kepimpinan lama susulan ketiadaan pelan peralihan yang jelas bagi menarik penyertaan dan sokongan generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast