KUALA LUMPUR – Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan-kesatuan di bawah Kementerian Kesihatan (MAPSU) menggesa kerajaan mengutamakan graduan kejururawatan tempatan sebelum mempertimbangkan pengambilan jururawat asing bagi mengisi kekosongan dalam sektor kesihatan.
Presiden MAPSU, Ajulahin Japin berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan untuk memperluaskan penempatan tenaga kejururawatan dari Indonesia ke Malaysia, namun langkah tersebut perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan jururawat tempatan serta keperluan sebenar sistem kesihatan negara.
Menurut beliau, masih terdapat graduan kejururawatan tempatan yang sedang menunggu peluang pekerjaan sama ada secara tetap atau kontrak dalam sektor kesihatan.

“Keutamaan sewajarnya diberikan kepada rakyat Malaysia untuk mengisi kekosongan jawatan sebelum kerajaan mempertimbangkan pengambilan tenaga kerja asing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, isu kekurangan jururawat yang sering dibangkitkan tidak semestinya berpunca daripada ketiadaan tenaga tempatan, sebaliknya perlu dilihat daripada aspek jumlah jawatan yang diluluskan, kadar pengisian jawatan sedia ada, peluang penyerapan graduan serta usaha mengekalkan jururawat berpengalaman dalam perkhidmatan awam.
Dalam masa sama, MAPSU berpandangan sekiranya terdapat keperluan mendapatkan kepakaran luar negara dalam bidang tertentu, ia perlu dilaksanakan secara terhad, bersasar dan berdasarkan penilaian keperluan tenaga kerja yang jelas.
Katanya, langkah sedemikian tidak boleh menjejaskan peluang pekerjaan, prospek kerjaya serta pembangunan profesional jururawat tempatan.
Sehubungan itu, MAPSU menggesa KKM mengadakan sesi libat urus bersama kesatuan-kesatuan yang mewakili jururawat sebelum sebarang keputusan dasar dibuat.
Menurut kenyataan itu, pandangan wakil pekerja perlu diberi perhatian bagi memastikan dasar yang digubal benar-benar memenuhi keperluan sistem kesihatan negara tanpa mengorbankan kepentingan tenaga kerja tempatan.
MAPSU turut menegaskan bahawa setiap peluang pekerjaan yang wujud perlu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan graduan kejururawatan tempatan yang telah dilatih menggunakan sumber negara. – MalaysiaGazette
















