KUALA LUMPUR – Pas menegaskan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan bermaksud memutuskan hubungan persahabatan dan ukhuwah yang telah terjalin antara pimpinan serta ahli kedua-dua parti selama ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Pas dan Bersatu menentukan hala tuju masing-masing tanpa lagi terikat antara satu sama lain dalam kerjasama politik.
“Keputusan Pas menghentikan kerjasama politik bukan bermaksud memutuskan hubungan dan silaturahim. Keputusan ini dibuat bagi memberi ruang kepada Pas dan Bersatu menentukan hala tuju parti masing-masing tanpa terikat antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, walaupun kerjasama politik terhenti, persahabatan dan ukhuwah antara kedua-dua parti tidak seharusnya terputus dan perlu terus dipelihara demi kepentingan ummah.
Beliau turut mendedahkan pengalaman kerjasama sebelum ini memperlihatkan pelbagai kesukaran dan kekangan termasuk isu melibatkan jemputan kepada Ahli Parlimen atau pimpinan daripada kem Datuk Seri Hamzah Zainudin ke program anjuran Pas yang didakwa tidak disenangi oleh sebahagian pihak dalam Bersatu.
“Sebagai contoh, tindakan Pas Melaka menjemput Datuk Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Bersatu dalam program Pas tidak disenangi oleh rakan-rakan daripada Bersatu.
“Justeru, jika penjemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa apatah lagi jika ia melibatkan pasukan yang dikenali sebagai RESET untuk duduk bersama dalam gerak kerja Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berkata, usaha Pas untuk memperluaskan gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan membawa masuk parti lain seperti Berjasa, Pejuang dan Perkasa turut berdepan jalan buntu susulan bantahan daripada Bersatu selain mendakwa tindakan parti itu di Perlis dan Negeri Sembilan serta kenyataan provokatif sebahagian pemimpinnya semakin kerap berlaku.
“Pas akhirnya tidak mempunyai pilihan lain melainkan membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura. Hasil kajian dan mesyuarat yang dibuat, Majlis Syura telah mengemukakan pandangannya untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.
“Maka setelah melalui perbincangan yang panjang, Pas membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Bersatu,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, kesepakatan terhadap keputusan itu dizahirkan menerusi laungan takbir yang bergema dalam dewan mesyuarat sebaik keputusan berkenaan diumumkan, sekali gus mencerminkan sokongan penuh kepimpinan Pas terhadap langkah tersebut.
“Keputusan ini bukan bermaksud Pas utamakan permusuhan. Penghentian kerjasama politik ini merupakan ruang kebebasan bagi setiap parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.
“Hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara. Saya berharap agar kita akan terus bersatu demi kebaikan ummah,” katanya. – MalaysiaGazette
















