Akmal Nasrullah.

BAYAN LEPAS – Keupayaan semasa pengurusan operasi bekalan tenaga negara menjadi asas kepada jaminan bekalan minyak negara, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, pengumuman jaminan bekalan minyak itu tidak menggambarkan negara berada dalam keadaan krisis, sebaliknya dibuat bagi memastikan ketelusan maklumat kepada rakyat susulan ketidaktentuan pasaran minyak global.

Jelas beliau, pendekatan itu membolehkan tahap ketersediaan bekalan dikenal pasti dengan lebih jelas berdasarkan keadaan semasa operasi bekalan tenaga negara.

“Maka sebab itu kita memilih jalan yang lebih transparent (telus) untuk berkongsi tahap ketersediaan selepas kita selesaikan persetujuan sama ada dari segi mendapatkan bekalan dari mana, kos dan sebagainya.

“Cuma perkara dari segi menjamin bekalan ini memang kita akan umumkan dari semasa ke semasa sebab simpanan itu di peringkat operasi.

Biasanya syarikat-syarikat bekalan minyak, terutamanya Petronas akan memberikan makluman selepas mereka mengesahkan perjanjian untuk mendapatkan bekalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada bekalan minyak negara mencukupi setakat Julai atau sebaliknya.

Menurut Akmal Nasrullah, kaedah itu juga bertujuan mengelakkan negara terikat dengan perjanjian jangka panjang ketika harga minyak dunia masih tidak menentu.

Jadi bukan bermaksud sehingga Julai itu kita berada dalam keadaan sukar, sebaliknya lebih kepada jaminan bekalan selepas ia disahkan.

“Ini kerana ketika ini kita tahu harga masih tidak menentu. Jadi kita tak nak masuk satu perjanjian yang begitu lama dan menyebabkan kalau berlaku apa-apa kesan kepada harga minyak di pasaran kita terikat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan perkembangan lanjut berkaitan jaminan bekalan akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara masih mencukupi sekurang-kurangnya sehingga bulan depan meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik.

Menurut beliau, hubungan baik Malaysia dengan Iran membantu melancarkan laluan perdagangan di Selat Hormuz sekali gus memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil ketika beberapa negara lain mula berdepan gangguan bekalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast