MEF

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengiktiraf usaha berterusan kerajaan di bawah KESUMA memperkukuh sistem perlindungan sosial dan pasaran buruh negara melalui pelbagai inisiatif reformasi.

Antaranya termasuk peluasan perlindungan sosial melalui Skim LINDUNG 24 JAM serta pembangunan rangka kerja perlindungan pekerja gig melalui Akta Pekerja Gig 2025.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam menyesuaikan sistem perburuhan negara dengan realiti ekonomi gig dan pekerjaan yang lebih fleksibel masa kini.

MEF turut mengalu-alukan penglibatan aktif Malaysia dalam Kerjasama strategik bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), International Organisation of Employers (IOE), International Social Security Association (ISSA), serta
penyertaan dalam Global Coalition for Social Justice.

Langkah itu memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara yang
komited terhadap dialog sosial tripartite serta mempertingkat keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan dasar buruh negara.

“Sebagai organisasi mewakili majikan swasta Malaysia, MEF menegaskan kepentingan memastikan setiap reformasi pasaran buruh dilaksanakan secara seimbang, berfasa dan berpandukan realiti industri.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan daya saing perniagaan, khususnya PMKS terus terpelihara di samping memastikan kebajikan pekerja sentiasa diberi keutamaan.

“MEF percaya bahawa ekosistem buruh yang stabil, fleksibel dan mesra pelaburan adalah asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.” katanya.

Dalam pada itu, MEF menyokong usaha Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (International Labour Conference – ILC) Ke-114 di Geneva, Switzerland.

MEF berpandangan, penyertaan aktif Malaysia dalam persidangan
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan global yang konstruktif dalam membentuk masa depan pekerjaan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“MEF menyambut baik penekanan Malaysia terhadap agenda strategik dunia pekerjaan masa hadapan khususnya dalam konteks transformasi teknologi, Kecerdasan Buatan (AI), serta perubahan struktur pasaran buruh global.

“Pendekatan yang diketengahkan Ramanan yang menekankan prinsip pertumbuhan berpusatkan manusia mencerminkan keseimbangan penting antara inovasi teknologi, perlindungan
pekerja , daya saing perniagaan dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, penyertaan aktif Malaysia di ILC Ke-114 Geneva membuktikan komitmen negara untuk terus berada di barisan hadapan dalam membentuk masa depan pekerjaan global.

“Pendekatan yang seimbang antara kemajuan teknologi, perlindungan pekerja dan daya saing industri adalah kunci kepada ekosistem buruh yang mampan.

“MEF menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh dialog sosial dan memastikan setiap reformasi dilaksanakan secara pragmatik, inklusif dan mengambil kira realiti industri,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast