BAYAN LEPAS – Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekosistem semikonduktor bernilai tinggi di Wilayah Utara menerusi sasaran menarik pelaburan baharu sebanyak RM8.5 bilion menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu akan dicapai melalui pembangunan teknologi pembungkusan termaju (Advanced Packaging – AP) menerusi inisiatif Institut dan Pusat Penyelidikan Pembungkusan Termaju (APIRC) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Menurutnya, APIRC yang dilaksanakan dengan sokongan Silicon Connect selaku penyedia Centre of Excellence (CoE) NTIC berperanan menyediakan penyelesaian pembangunan AP merangkumi proses reka bentuk, penghasilan prototaip sehingga sampel produksi cip.
“APIRC merupakan langkah penting untuk memastikan Malaysia tidak kekal dalam segmen pemasangan dan pengujian semikonduktor semata-mata, sebaliknya bergerak ke aktiviti yang lebih strategik dan bernilai tinggi.
“Melalui APIRC, kita menyasarkan pelaburan baharu sebanyak RM8.5 bilion dan pembangunan 12 syarikat tempatan dalam ekosistem Advanced Packaging menjelang 2030.
”Ini bukan sekadar angka pelaburan, tetapi usaha untuk memastikan lebih banyak nilai, kepakaran dan peluang ekonomi kekal di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian NTIC di sini, hari ini.
Tambah beliau, Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam industri semikonduktor bagi memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu, reka bentuk sistem, pembungkusan termaju, automasi, pembangunan peralatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan prototaip serta pengkomersialan teknologi.
“Pelaburan berkualiti mesti diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti. Kejayaan NTIC dan APIRC bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan, tetapi melalui bakat tempatan yang dibangunkan, gaji yang meningkat dan syarikat tempatan yang mampu naik ke rantaian nilai lebih tinggi.
“Sasaran APIRC menjelang 2030 dijangka memberi limpahan ekonomi yang lebih meluas kepada Wilayah Utara meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak menerusi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan aktiviti R&D, pengkomersialan teknologi serta penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, NTIC berfungsi sebagai platform pembangunan Industri 4.0, robotik, ujian sistem, reka bentuk litar bersepadu (IC), penyelesaian kejuruteraan dan kerjasama teknologi.
Beliau berkata, program itu memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju dan pertanian moden selain menjadi platform kerjasama strategik antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti dalam memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi di Wilayah Utara.
“Sejak 2023, NTIC telah merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM70 bilion, melantik 25 penyedia CoE, menaik taraf rantaian nilai 68 syarikat tempatan serta menghasilkan 16 harta intelek di Wilayah Utara.
“NTIC turut membangunkan 1,452 bakat tempatan berkemahiran tinggi melalui kerjasama industri dan akademia, dengan 58 peratus daripadanya menerima kenaikan gaji atau kenaikan pangkat selain mewujudkan 5,074 peluang pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette















