Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, WTC Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan parti itu akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun pada masa sama mengekalkan hak untuk menentukan pendirian  sendiri menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia yang berlangsung di sini malam ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 sehingga tamat penggal kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, WTC Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JUN 2026.

MKT UMNO turut menjelaskan, Kerajaan Negeri Johor telah dibentuk lebih awal sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, menurut beliau, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.

Dalam masa sama, UMNO menegaskan, parti itu mempunyai hak untuk menentukan pendirian serta strategi politik menjelang mana-mana pilihan raya termasuk PRN Johor dan Negeri Sembilan yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

MKT UMNO juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, tindakan tersebut disifatkan sebagai amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan dengan memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan mandat mereka melalui proses pilihan raya.

Pada masa sama, UMNO menyatakan keterbukaan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, parti itu menegaskan sebarang bentuk kerjasama politik perlu diasaskan kepada prinsip keikhlasan, kepercayaan dan saling menghormati antara pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast