KUALA LUMPUR – Ketika spekulasi mengenai susunan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) semakin hangat, Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Abdullah Sani Abd. Hamid berpandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai tokoh paling layak menerajui negara bagi penggal kedua.
Beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri masih relevan terutama dalam suasana politik semasa yang semakin dinamik, termasuk selepas Pas mengambil keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan pemikir negara sebelum ini pernah membincangkan cabaran besar yang dihadapi Malaysia dari sudut pentadbiran, ekonomi dan tadbir urus sebelum Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan pada November 2022.
Katanya, pelaksanaan pelbagai dasar di bawah kerangka Malaysia Madani telah membawa perubahan ketara termasuk usaha membasmi kemiskinan tegar, memperkukuh kebajikan rakyat dan memulihkan keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Apabila Anwar mengambil alih pentadbiran negara, banyak pembaharuan diperkenalkan. Antara yang sering disebut ialah kejayaan menangani isu kemiskinan tegar dan memperkukuhkan semula keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang perlu dinilai secara objektif oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdullah Sani yang juga Naib Ketua Cabang PKR Kuala Langat berkata, pergolakan yang melanda beberapa parti politik ketika ini menyebabkan rakyat mula memikirkan siapa pemimpin yang benar-benar mampu memimpin negara sekiranya tiada satu gabungan memperoleh dominasi besar selepas PRU-16.
“Realitinya, rakyat akan melihat siapa yang mampu membawa manfaat kepada negara. Hari ini kita menyaksikan pelbagai pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia yang dikaitkan dengan kepimpinan Perdana Menteri.
“Ia bukan sahaja melibatkan hubungan diplomatik, malah keyakinan pelabur asing dan penghormatan yang diberikan oleh negara-negara besar terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan menarik pelaburan asing, memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa serta menjamin kestabilan ekonomi ketika dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan merupakan antara kriteria penting yang perlu dimiliki seorang pemimpin negara.
Menurutnya, setakat ini beliau tidak melihat tokoh lain yang mempunyai pengalaman, jaringan antarabangsa dan kredibiliti setanding Anwar untuk mengemudi negara dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.
“Kita percaya rakyat cukup matang untuk membuat penilaian. Walau apa juga serangan politik dan fitnah yang dilemparkan, Perdana Menteri tetap meneruskan tugas beliau termasuk memperkukuh hubungan perdagangan serta kerjasama antarabangsa demi kepentingan negara.
“Akhirnya rakyat akan menentukan siapa yang paling layak untuk menerajui Malaysia. Pada pandangan saya, Anwar masih merupakan pilihan paling sesuai untuk meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negara selepas PRU-16,” katanya. – Malaysia Gazette
















