Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Sharwin Subramani

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempersoalkan hala tuju sebenar UMNO selepas kenyataan beberapa pemimpin parti itu dilihat bercanggah dengan keputusan terbaru Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kerjasama politik.

Timbalan Ketua AMK Johor, Sharwin Subramani berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini yang mana beliau lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada membentuk kerajaan bersama DAP menimbulkan persepsi seolah-olah parti itu tidak boleh diterima sama sekali sebagai rakan politik di negeri berkenaan.

Menurutnya, kenyataan tersebut diperkukuhkan lagi apabila Onn Hafiz ketika pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Johor baru-baru ini menegaskan BN tidak akan duduk semeja dengan DAP dan bersedia bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Namun dalam masa yang sama, Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung semalam pula memutuskan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi menjamin kestabilan politik negara.

“Rakyat tentunya tertanya-tanya pendirian yang mana satu sebenarnya mewakili UMNO.

“Adakah UMNO menolak kerjasama dengan DAP atau sebaliknya terbuka kepada kerjasama politik demi kestabilan negara?” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, perbezaan nada dan pendirian antara kepimpinan negeri dengan kepimpinan pusat itu hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai hala tuju sebenar UMNO menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, jika kestabilan politik benar-benar menjadi keutamaan UMNO dan BN, parti itu juga perlu menjelaskan rasional pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor pada 2022 ketika kerajaan negeri masih memiliki majoriti lebih dua pertiga dan berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.

“Ketika itu alasan yang digunakan ialah bagi mendapatkan mandat yang lebih kukuh dan mewujudkan kestabilan politik.

“Jadi rakyat berhak bertanya sama ada keputusan tersebut benar-benar dibuat atas faktor kestabilan atau sebenarnya terdapat pertimbangan politik lain yang lebih menguntungkan parti ketika itu,” ujarnya.

Sharwin berkata, persoalan tersebut menjadi semakin relevan apabila UMNO kini menjadikan kestabilan politik sebagai hujah utama dalam mempertahankan pendirian terbaharu mereka.

Katanya, rakyat juga berhak mengetahui sama ada sokongan Bangsa Johor terhadap BN semakin terhakis sehingga memerlukan naratif politik yang berbeza mengikut tempat dan keadaan.

“Di Johor, DAP digambarkan seolah-olah tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Tetapi di Putrajaya, UMNO terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP.

“Perbezaan mesej seperti ini hanya mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, keutamaan semua pemimpin politik seharusnya tertumpu kepada usaha membantu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulihkan ekonomi negara, menarik pelaburan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurutnya, rakyat semakin muak melihat perdebatan politik yang berterusan mengenai siapa akan bekerjasama dengan siapa, siapa akan bertanding di mana dan siapa bakal membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

“Rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai cabaran harian.

“Mereka mahukan penyelesaian, bukannya percaturan politik yang tidak berkesudahan,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat berbanding terus memainkan sentimen yang hanya menguntungkan pihak tertentu.

“Sudah tiba masanya semua pemimpin politik menunjukkan kematangan dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti.

“Itulah yang sebenarnya diharapkan rakyat ketika negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast