Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO sedia memainkan peranan penting dalam memberi nasihat serta panduan bagi memastikan sebarang perjanjian kerjasama politik dengan parti lain berlandaskan tuntutan al-Quran demi kemaslahatan Islam dan ummah.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu juga selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam yang memutuskan parti itu bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana pihak.

“Saya sendiri akan turut membantu menerusi majlis tersebut dalam menilai sebarang bentuk jalinan kerjasama menjelang pilihan raya akan datang.

“Keterbukaan itu bermaksud UMNO sedia bekerjasama dengan Pas, PKR, Amanah, Bersatu atau mana-mana parti bergantung kepada tawaran yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pertimbangan utama dalam sebarang rundingan mestilah meletakkan kepentingan Islam dan kemaslahatan rakyat di hadapan, dengan asas kerjasama yang dibina atas dasar kebajikan dan takwa seperti mana tuntutan al-Quran.

“Sebarang kerjasama tentu sahaja dengan terma perjanjian yang bersifat menang-menang untuk semua.

“Perjanjian boleh dimula dan boleh sahaja dirungkai tetapi dalam kedua-dua keadaan hendaklah bermula dan berakhir dengan akhlak Islam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairudin turut menegaskan komitmen UMNO untuk terus mendokong dan memperkasakan Kerajaan Perpaduan yang telah diasaskan bersama ketika ini sehinggalah menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast