Antara 73 individu direman disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta. Foto SPRM.

KUALA LUMPUR – Seramai 73 individu terdiri daripada ejen dan pemilik syarikat direman disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an ditahan pada Selasa lalu di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seluruh negara kecuali Perlis.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2024 hingga 2025 dengan membuat tuntutan palsu.

“Ia melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam kenyataan hari ini

Pada 9 Jun lalu, SPRM melalui Bahagian Perisikan, Bahagian Siasatan dan SPRM Negeri dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menjalankan operasi bersepadu.

Melalui operasi itu, penggeledahan telah dijalankan di 90 buah lokasi melibatkan premis-premis syarikat dan telah menahan seramai 83 individu yang terdiri daripada enam orang ejen dan 77 pemilik syarikat.

Risikan yang dijalankan sejak November 2025 menyasarkan 143 premis syarikat seluruh negara dengan 320 individu yang dikaitkan dengan tuntutan tersebut.

Melalui operasi tersebut juga SPRM telah merakam 104 percakapan yang melibatkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi.

“Melalui operasi ini juga SPRM telah membekukan sebanyak 25 akaun bank syarikat dengan jumlah kira-kira RM390,000,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, siasatan masih berjalan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast