Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bercakap kepada media selepas selesai sesi lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2026.

SEPANG – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkaitan isu pembatalan perolehan peluru berpandu antikapal (NSM) dari syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, taklimat berkenaan isu tersebut dengan Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia akan diadakan pada 23 Jun ini.

Menurut beliau, pihaknya telah menulis surat kepada pihak MINDEF sebelum ini selepas menerima surat daripada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu, Datuk Lokman Hakim Ali yang memaklumkan tentang status isu tersebut.

“Saya telah menerima panggilan daripada KSU sebaik saja keputusan daripada Kerajaan Norway dan beliau memaklumkan saya tentang status tersebut, tetapi isu sudah agak lama dan ada perkembangan-perkembangan baharu yang saya difahamkan.

“Jadi kita akan memanggil pihak MINDEF untuk datang ke PAC dan memberikan pencerahan dan juga taklimat kepada PAC dan juga Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia pada 23 Jun ini iaitu hari kedua sidang dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersama Ahli Parlimen Sekijang merangkap ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Kapar merangkap ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr. Halimah Ali hadir pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2026.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia berhak menuntut pampasan sewajarnya daripada Norway dan KDA susulan pembatalan lesen eksport NSM ke negara ini.

Beliau berkata, tuntutan itu wajar kerana Malaysia menanggung kerugian kewangan selain kehilangan masa serta peluang bernilai akibat pembatalan berkenaan.

Mohamed Khaled menyifatkan tindakan Norway itu sebagai tidak wajar serta mencemarkan hubungan dua hala, selain menegaskan bahawa negara kecil dan kuasa pertengahan bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang stabil dan boleh diramal, dengan setiap komitmen serta obligasi dihormati.

Sebelum ini, Kerajaan Norway dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast