Tertuduh, Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sebelum menyembunyikan mayat di dalam tilam sehingga reput selama dua bulan, pada Mac lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sebelum menyembunyikan mayat di dalam tilam sehingga reput selama dua bulan, pada Mac lalu.

Tertuduh, Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40, bagaimanapun hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Tiada pengakuan direkodkan oleh penganggur itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membunuh seorang lelaki berusia 40 tahun antara jam 10 malam pada 30 Mac 2026 hingga 3 pagi pada 31 Mac 2026.

Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu dilakukan di sebuah rumah beralamat Taman Seri Pandan 1, Jalan Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Kejadian pembunuhan tragis itu disedari pemilik premis pukul 7 petang, 28 Mei lalu sebelum pemeriksaan polis mendapati mayat dalam keadaan mereput di tingkat satu rumah kedai berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, mayat itu ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam dengan kedua-dua tangan dipercayai diikat sekali gus menimbulkan syak wujud unsur jenayah.

Susulan penemuan itu, polis menahan suspek dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu selain mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

Siasatan juga mendapati, salah faham dan tuduh-menuduh terhadap keluarga suspek disyaki menjadi motif pembunuhan selepas tercetus pergaduhan antara kedua-dua mereka ketika menghisap dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast