Foto: AFP

LONDON – Satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang mengorbankan 241 orang memohon “kejujuran, ketelusan dan jawapan” setahun selepas bencana, lapor PA Media/dpa.

Warga Britain, Vishwash Kumar Ramesh berkata dia terus “hidup dengan parut psikologi yang ketara” berikutan kematian abangnya dalam nahas pada Jun tahun lepas itu.

Boeing 787 Dreamliner yang menuju ke London merempuh sebuah kolej perubatan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, menyebabkan semua orang di dalamnya maut selain Ramesh yang berusia 39 tahun.

Kira-kira 169 penumpang India dan 52 warga Britain terbunuh, menjadikannya antara nahas pesawat dengan jumlah kematian yang tinggi bagi British.

Selain mereka yang berada dalam pesawat AI171, 19 orang lagi turut maut dan 67 cedera parah.

Ramesh, yang telah tinggal di Leicester selama lebih 20 tahun, sebelum ini berkata kematian abangnya Ajay “mengambil semua kebahagiaan saya” selepas menyifatkan kejadian dia terselamat sebagai “keajaiban”.

Dalam satu kenyataan ringkas 12 bulan selepas kemalangan itu, dia memberitahu Persatuan Akhbar:

“Apa yang mungkin ramai orang tidak memahami sepenuhnya ialah trauma itu tidak berakhir pada hari bencana.

“Saya hidup dengan parut psikologi yang ketara, kehilangan abang saya, dan soalan yang tidak terjawab yang berterusan tentang bagaimana dan mengapa ini berlaku.

“Saya tahu soalan-soalan itu bukan sahaja di fikiran saya – ia ada pada fikiran setiap keluarga yang terjejas.

“Lebih daripada segalanya, orang ramai memerlukan kejujuran, ketelusan dan jawapan. Tiada apa yang akan mengubah apa yang berlaku, tetapi keluarga berhak mendapat pencerahan.”

Penyiasat masih belum menerbitkan penemuan akhir mereka mengenai punca nahas itu.

Laporan awal insiden berkenaan daripada Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India mendapati kedua-dua suis bahan api pesawat dialihkan ke kedudukan “cut off”, “sejurus” selepas berlepas, menghentikan bekalan bahan api ke enjin. – BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast