Poster Himpunan Gegar TikTok yang akan berlangsung esok.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei menjemput orang ramai khususnya pengguna TikTok menghadiri ‘Himpunan Gegar TikTok’ yang dijadual berlangsung esok.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng berkata, himpunan aman itu akan diadakan pukul 10 pagi di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity di sini.

Menurutnya, himpunan itu bagi menyampaikan peringatan supaya platform media sosial khususnya TikTok tidak lagi disekat dan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ditindas.

“Terutamanya kepada sesiapa mangsa yang pernah disekat akaun TikTok gara-gara mengkritik Kerajaan Madani, kehadiran anda memberi inspirasi besar kepada semangat perjuangan kami.

“Kepada para penyokong saya yang tersayang, datanglah ke perhimpunan aman ini untuk bergambar-gambar dan kongsikan pendapat anda kepada saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Albert Tei, beliau mengalu-alukan kehadiran penyokongnya untuk berinteraksi secara langsung serta berkongsi pandangan dalam perhimpunan tersebut.

Beliau juga meminta orang ramai menyebarkan poster jemputan himpunan berkenaan bagi memastikan kehadiran lebih ramai peserta.

Sementara itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sama ada perhimpunan yang dirancang itu mendapat kebenaran atau sebaliknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast