KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memuncak apabila sekumpulan pemimpin bahagian dan ketua cawangan di Hulu Langat mengumumkan keputusan keluar parti serta-merta.
Ini selepas mereka mendakwa pembubaran Jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Langat dilakukan tanpa mengikut peruntukan perlembagaan parti.
Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Hulu Langat serta beberapa ketua cawangan mendakwa mereka tidak pernah meletakkan jawatan, selain tidak menerima sebarang surat rasmi atau dimaklumkan mengenai keputusan pembubaran jawatankuasa bahagian tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, tindakan berkenaan telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pimpinan akar umbi yang dipilih secara sah menerusi pemilihan parti pada Februari tahun lalu.
Menurut mereka, keputusan yang dibuat tanpa penjelasan jelas itu dilihat mengenepikan mandat ahli-ahli di peringkat bahagian yang telah memilih kepimpinan sedia ada untuk menerajui Bersatu Hulu Langat bagi penggal semasa.
“Kami kecewa dan berasakan berlaku salah tadbir urus dalam isu pembubaran Bersatu Bahagian Hulu Langat.
“Sehingga kini kami tidak pernah meletakkan jawatan, tidak menerima sebarang surat rasmi berkaitan pembubaran bahagian dan tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan rasmi pimpinan dalam isu tersebut,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mendakwa pengurusan parti semakin dipengaruhi amalan kronisme sehingga keputusan tertentu dibuat tanpa mematuhi peruntukan perlembagaan parti yang sepatutnya menjadi panduan kepada semua peringkat kepimpinan.
Selain isu di peringkat bahagian, kumpulan tersebut turut meluahkan kekecewaan terhadap perkembangan yang berlaku dalam hubungan antara Bersatu dan Pas yang didakwa memberi kesan kepada masa depan Perikatan Nasional (PN).
Menurut mereka, kegagalan kepimpinan Bersatu menguruskan perbezaan pandangan dengan Pas sehingga membawa kepada keputusan parti itu menamatkan kerjasama politik menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
Mereka mendakwa siri kenyataan terbuka yang berbaur provokasi, tohmahan dan serangan terhadap rakan komponen telah mengeruhkan hubungan yang dibina dalam gabungan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
“Kami melihat apa yang berlaku hari ini telah menjejaskan kesepaduan PN dan mengalihkan fokus pembangkang daripada peranan sebenar untuk memperjuangkan nasib rakyat.
“Perikatan Nasional Hulu Langat yang dibina atas semangat ukhwah dan kerjasama dengan rakan-rakan dalam PAS kini dicemari permainan politik yang hanya menguntungkan pihak tertentu,” kata mereka.
Sehubungan itu, kumpulan terbabit memaklumkan keputusan dibuat secara sebulat suara untuk keluar daripada Bersatu, melepaskan semua jawatan yang disandang serta mengambil langkah membubarkan cawangan-cawangan parti yang berada di bawah kepimpinan mereka.
Antara yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Setiausaha Bersatu Bahagian Hulu Langat merangkap Ketua Armada Bahagian, Azhar Abdul Razak; Naib Ketua Bahagian, Asrul Asrah Isyam Abdul Rahman; Bendahari Bahagian, Datuk Abdul Rahman Mohd serta beberapa lagi AJK bahagian dan ketua cawangan di kawasan berkenaan.
Mereka menegaskan keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti dan demi mempertahankan prinsip perjuangan yang menurut mereka semakin tersasar daripada matlamat asal penubuhan Bersatu. – MalaysiaGazette
















