KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman atas pertuduhan berkaitan perniagaan sekuriti tanpa lesen, akan didengar secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini bermula Mei tahun depan.
Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan perbicaraan didengar selama 15 hari pada 27 dan 28 Mei; 23 dan 30 Julai; 9 hingga 11 dan 18 serta 19 Ogos; sebelum bersambung pada 6 hingga 8 serta 27 hingga 29 September 2027.
Mohd Kafli membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Mageswary Karoppiah agar kedua-dua kes dibicarakan secara bersama.
Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Mohd. Daud serta peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili Mahadi pada prosiding sebutan kes hari ini.
Mahkamah menetapkan sebutan kes selanjutnya pada 19 November ini.

Terdahulu, Mageswary membuat permohonan untuk kes dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Prosedur Jenayah kerana ia merupakan kes subahat yang melibatkan transaksi sama.
Menurut beliau, pendakwaan dijangka memanggil 25 orang saksi memberi keterangan.
“Beberapa jilid dokumen berkaitan perbicaraan telah diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini dan akan menyerahkan baki dokumen secepat mungkin,” kata Mageswary.
Mohd. Daud, 62, yang juga tokoh kewangan Islam terkenal didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu dengan bertindak sebagai wakil kepada Energy Eco Berhad di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 di C6-1, Jalan Reef 1/2, Pusat Perniagaan Reef, Rawang dekat sini.
Menurut pertuduhan, Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT menjalankan urusniaga dalam aktiviti terkawal melibatkan sekuriti walhal AUF MBZ bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan bukan syarikat berdaftar bagi melakukan aktiviti itu.
Mohd. Daud didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama perenggan 370(c) dan subseksyen 367(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mahadi, 43, yang juga suami kepada pelakon Heliza Helmi, selaku wakil AUF MBZ, didakwa menjalankan urusniaga sekuriti walhal syarikat itu tidak mempunyai lesen melakukannya di antara 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 di No. 70, Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya dekat sini. – MalaysiaGazette
















