MELAKA – Sepasang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) memberi alasan mahu menyiapkan tugasan universiti bersama ketika diperiksa penguat kuasa agama di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pagi semalam.
Operasi kira-kira pukul 9 pagi itu dijalankan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama anggota polis selepas mendapat aduan awam.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki dan gadis kedua-duanya berusia 21 tahun berada dalam rumah berkenaan yang disewa penuntut perempuan terbabit.
“Penuntut lelaki didapati bersembunyi di dalam almari, manakala kenalan perempuannya didapati memakai telekung.
“Semakan mendapati, kedua-dua mereka merupakan pelajar IPT swasta, masih bujang dan tidak mempunyai hubungan yang sah sebagai suami isteri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Susulan itu, pasangan terbabit dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Md Azhan berkata, JAIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala sosial dalam kalangan masyarakat Islam.
“Operasi seperti ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar sentiasa mematuhi tuntutan agama dan mengelakkan perbuatan yang boleh membawa kepada kemungkaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















